Tuesday, November 3, 2009

KUIS: Antara Semangat dan Profesionalisme



"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, pohonlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya."

[Ali Imran 3:159]



Agak lama rasanya tidak berbicara tentang mahasiswa. Agak lama juga saya tidak mengikuti perkembangan gerakan mahasiswa di kampus sana. Kesibukan dengan urusan kerja membataskan saya untuk meluangkan masa bersama masyarakat kampus terutama pimpinan.

Kebelakangan ini acap kali juga banyak pihak mahu bertemu dengan saya bagi membincangkan beberapa perkara terutamanya dalam usaha membela hak dan kebajikan mahasiswa di KUIS. Kesibukan menyebabkan tidak semua permintaan dapat saya penuhi.

Zaman berganti zaman. Zaman saya dulu lain. Sekarang bertambahlah lain. Isu dan waktu bergerak seiring. Kini khabarnya ada sebahagian kecil mahasiswa yang mahu memobilisasi massa. Arusnya, arus revolusi.

Perkembangan yang berlaku ada pro dan kontra. Semangat mesti dibimbing bukan dikekang supaya ia subur membugar perjuangan kerana semangat itu ada nilai dan kelasnya yang tersendiri.

Mahasiswa sewajarnya bersifat mahasiswa. Mesti ada 2 Pro. Progresif dan profesional.

Progresif sinonim dengan mahu cepat, terbuka, bersemangat. Senang kata itu jiwa muda. The young angre men. Hakikatnya progresif sahaja tidak cukup bahkan tempang.

Kita perlu profesional. Profesionalisme inilah yang akan mengimbangi jiwa muda kita. Agar semangat tadi itu terarah dan dibimbing.

Semua orang bersemangat mahu berjuang. Kalau boleh nak jadi adiwira kepada masyarakat kampus. Kalau boleh hari ini semai pokok, esok mahu tuai hasil. Kalau boleh hari ini berdemonstrasi turun harga yuran, esok harga turun.

Ini sifat mee segera. Kita bukan cap Maggie. Ingat kita ini Mee Ruski ke?

"Perjuangan perlu susah payah. Perjuangan perlukan masa yang panjang. Nak berjuang senang-senang baik duduk rumah!" laung Almarhum Dato' Hj Fadzil Noor ketika berucap di Stadium Sultan Nasaruddin sekitar tahun 1995.

Saya mahu tegaskan di sini yang saya bukan tidak setuju demontsrasi. Demonstrasi adalah sebahagian dari sekian banyak kaedah yang kita boleh guna pakai. Cuma kita perlu buat satu demi satu. Demonstrasi adalah cara yang paling akhir untuk digunakan apabila semua akses kita ditutup.

Ada 2 perkara yang kita kena perhati.

1. Sudahkah kita berbincang dengan universiti?
2. Jika sekiranya perbincangan tidak berhasil, adakah kita membuat Memorandum Mahasiswa kepada pihak universiti?

Kedua-dua sudah diusahakan. Jawapan saya, demonstrasi. Itu sahaja cara yang kita ada setelah kita mengusahakan jalan diplomasi. Ketika itu mereka sudah tidak ada hujah untuk menangkis apa yang kita utarakan. Kita sudah lakukan mengikut prosedur yang digariskan.

Inilah pentingnya kita bersifat dengan sifat mahasiswa; progresif dan profesional. Amarah kita terarah dan dibimbing. Buatlah hujah sebelum berhujah kerana itulah sikap pimpinan yang berpandangan jauh.

Ingat, apa yang kita lakukan sebagai pimpinan akan memberi implikasi kepada pengikut dan penyokong. Fikirkan secara mendalam. Jika sukar, mintalah pandangan dan nasihat orang-orang yang pengalaman.

Satu yang saya bimbangi, apakah kita syok sendiri?



arrazzi alhafiz
AMAN PALESTIN
Bandar Baru Bangi

Monday, October 26, 2009

Rela Parti Islam Ditolak Rakyat


"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan"

[Yaasin 36:65]


Ya. Jauh di sudut hati ini aku memang sangat tidak seronok. Resah gelisah berpadu. Sedih pedih bersatu. Takut dan ralat bertemu. Apalagi yang mampu aku katakan. Hati ini menangis siapa yang tahu.

Oh Tuhan, kepada Engkaulah kami serahkan segala urusan. Engkau jualah tempat kami mengadu nasib yang berlaku.

Perkembangan yang berlaku di sekitar Parti Islam memang menyesahkan dada ini. Bagai jatuh terjelupuk. Lebih malang jika ditimpa tangga.

Sedari kecil aku dibesar dan ditarbiyyah dengan Parti Islam. Andai Parti Islam adalah sebuah kota, Abahlah pintu gerbangnya. Ke hulu ke hilir dikeleknya aku merapati sebuah gerakan Islam yang didokonginya.

Kawasan rumah aku itulah tempat orang berceramah. Almarhum Dato' Hj Fadzil Noor dan Sdr. Mat Sabu adalah antara pimpinan yang bertandang.

"Jadi orang yang berani!" sambil mengusap kepalaku itulah pesan Sdr. Mat Sabu. Ketika itu usiaku baru menginjak 10 tahun. Namun aku faham kata-kata itu. 13 tahun ia berlalu.

Juga aku tak lupa aku mengikut Almarhum Dato' Hj. Fadzil Noor dari Masjid Ketapang, Pekan ke rumah bekas Pesuruhjaya Pahang, Almarhum Ust. Rosdi. Almarhum pergi berurut di sana. Keletihan agaknya kerana sebelah malam beliau akan menyampaikan ceramahnya di Markas PAS Pekan. Aku baru Darjah 5 ketika itu tapi aku tahu dan faham masalah politik negara.

Kebetulan masa itu aku tak setuju dengan Sheikh Al-Azhar, Sheikh Muhammad Tantawi yang memecat 40 ulama Al-Azhar yang tak sealiran (muka depan Harakah). Tambah masalah lagi bila Mufti Selangor, SS Datuk Seri Utama Diraja Dato' Ishak Baharom dipecat. Semua ini berlaku pada tahun yang sama. 1997.

Aku jugalah tentera kerdil Parti Islam ketika Pilihanraya Umum (PRU) 1995. Mana mungkin aku lupakannya. Pacak bendera, pasang bendera, kibar bendera. Semua kami (tentera kerdil) buat dengan penuh semangat. Yang kami tahu, kami mahu Parti Islam bersaing hebat. Berkonvoi naik basikal (masa itu zaman BMX dan basikal racing) keliling kampung. Aku megah dengan membawa "bulan". Begitu juga PRU 1999.

Aku juga satu-satunya budak sekolah yang kerat gambar-gambar ulama lalu ditampal dalam satu buku khas. Bukan sekadar gambar, aku turut gunting, tampal dan simpan artikel tulisan Tuan Guru Haji Hadi, Tok Guru Nik Aziz, Dato' Fadzil Noor dan ramai lagi. Buku itulah menjadi bacaan kawan-kawan aku. Ada juga fotostat kerana minat mendalam.

Semua yang aku lakukan dulu dan sekarang adalah kerana cinta aku kepada Islam dan kasih aku kepada Parti Islam.

Hari ini Parti Islam yang aku puja itu tampak sepi. Sunyi dari semangat dan perjuangan asalnya. Adab dan akhlak yang menjadi budaya dan tradisi seakan hilang. Roh Uhud yang bersemi padanya pudar.

Aku mahu Parti Islam lantang mempertahankan ketuanan Islam di bumi Malaysia ini. Siapa lagi yang mahu kita harapkan kalau bukan Parti Islam yang dasar dan gerak kerja berkiblat Iman dan Islam. Nak harap Parti Kebangsaan lambatlah. Nak harap Parti Liberal, apa yang nak diharapkan.

Kita berpolitik atas maslahah dakwah dan tarbiyyah. Maknanya antara politiking dengan dakwah, kita tetap dahulukan dakwah. Sebab dakwah itu wajib. Berparti itu harus.

Bawalah apapun dihadapan. Kuasa, kedudukan, pengaruh. Semua itu tiada bererti kerana Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.

Aku yakin dengan kebenaran dan kemurniaan Islam. Jangan ada yang gatal-gatal mahu membelakangkan agama Muhammad ini. Jangan kerana kuasa yang tak tentu letak duduknya Islam kita jadi rambang mata.

"Kami rela kalah kerana melaksanakan Islam. Kita rela ditolak rakyat kerana melaksanakan suruhan Allah. Apalah maknanya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha Allah"

Ungkapan masyhur Tuan Guru Presiden inilah yang ramai ahli apalagi pimpinan Parti Islam petik. Betapa ungkapan ini memperlihatkan iltizam seorang Presiden sebuah gerakan Islam kepada perjuangan fisabilillah demi mendaulatkan Islam.

Kalah. Apa nak dihairankan? Kalah itu mainan kita. Kita adalah parti yang banyak rekod kekalahan. Apa dengan kalah sekali lagi kita sudah tak mampu tanggung kepedihan lama.

Ditolak. Berpuluh tahun kita ditolak oleh rakyat jelata. Ahli tak pernah patah hati dengan penolakkan. Itulah tarbiyyah diri. Itu makanan jiwa yang memberikan vitamin untuk kami bangkit bersemangat dengan jalan ini.

Dikhianati. Tak terkira banyaknya kita dikhianati. Sudah lali berkali-kali. Sedikitpun tidak membekas di hati.

Semuanya kita harung dengan Islam tertanam di sanubari.

Tapi untuk membelakangkan Islam hanya untuk meraih kemenangan dan kuasa, itu kita tak pernah buat. Kami tidak ditarbiyyah begitu. Kami tidak hina untuk menjamu makanan itu.

Biarlah parti rugi. Jangan pula Islam yang rugi. Islam itu terlalu mulia untuk menanggung rugi.

Allah wahai Tuhan, kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau sahajalah kami memohon pertolongan. Sesungguhnya kami berdepan dengan kaum musyrik juga munafik. Hancur leburkanlah pakatan mereka. Pecah-belahkanlah perpaduan mereka.

Wahai Tuhan...dengarlah resah hati ini.



arrazzi alhafiz
AMAN PALESTIN
Bandar Baru Bangi

Thursday, September 17, 2009

Salam Aidilfitri 1430H


Sahabat-sahabat dan para pengunjung GEMA MAHASISWA yang dirahmati Allah Taala.

Benarlah sabda baginda SAW, sesungguhnya setiap anak Adam itu tidak sunyi dari dosa dan noda. Pepatah Melayu ada berbunyi. Bumi mana tak ditimpa hujan, lautan mana tak bergelora. Begitulah juga diri ini.

Maka dikesempatan yang sangat bermakna ini, dengan rasa rendah diri saya menyusun 10 jari memohon ribuan keampunan dan kemaafan andai terlanjur kata dan tingkah laku, sengaja atau tidak, besar mahupun kecil, yang terang juga sembunyi, dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Mudah-mudahan Aidilfitri ini menjadi hari yang kita kembali kepada fitrah insaniah iaitu Islam.

Ramadhan Terakhir?

Sebulan mendakap Ramadhan terasa begitu pantas. Pejam celik pejam celik, esok lusa sudah berakhir. Belum puas rasanya meraih rahmat. Belum cukup rasanya rayu keampunan. Belum banyak rasanya tadarus dan sujud. Ya Allah...munajat pada-Mu rasanya sedikit sangat.

Kata baginda Nabi SAW, Ramadhan adalah sebaik-baik bulan. Maka teman-teman, adakah kita telah mengambil kesempatan di atas ruang dan peluang yang dikurniakan Allah ini dengan sebaik-baiknya.

Ramai orang yang bersiap-siap nak sambut Ramadhan. Sungguh berbesar hati mereka kerana Ramadhan nak berlabuh di pelabuhan ummah. Tapi mereka inilah yang belum tiba Ramadhan, mereka sudah dipanggil untuk menghadap Allah SWT.

Kita? Adakah kita seperti mereka yang sangat berbesar hati menyambut Ramadhan, bersedia dengan segala ibadah dan rohani yang bersih. Kebanyakan dari kita sememangnya tidak bersedia apa-apa untuk sambut Ramadhan sebagai tetamu kehormat yang dibawa bersamanya rahmat, maghfirah dan kemerdekaan dari Neraka.

Namun insan inilah yang dipilih oleh Allah untuk menerima kurnia al-Kubra. Maha Suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Oleh sebab itu, malanglah kita kalau sepurnama ini kita tidak berbuat apa-apa. Maka jangan pelik kalau kita tidak dapat apa-apa.

Hari ini 28 Ramadhan. Maka esok adalah hari terakhir kita bersama tamu agung ini. Muhasabahlah kita akan segala yang sudah dita kerjakan. Moga baki sehari jangan pula sia-sia begitu sahaja.

Al-Quran sudah mengkhabarkan bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Dan sabda baginda SAW, mati itu tidak beralamat.

Mungkin ini Ramadhan terakhir?

Ramadhan Natijah Taqwa

Rahmat adanya
Maghfirah diserta
Barakah bersama
Redha di hujungnya

Riang gembira serata buana
Menyambut tiba akan dia
Tangisan rindu genangi mata
Tangan ditadah tanda gembira
Libur insan dari dosa noda
Kalamullah di bibir contohi baginda
Bangun malam digagah diusaha
Tasbih dan tahmih menjadi kata

Alangkah indah nikmat kurnia
Dari Sang Pencipta Yang Maha Esa
Untuk hamba-Nya mendamba cinta

Ramadhan
Sungguh engkau buat insan bertaqwa

Wednesday, August 12, 2009

H1N1 Konspirasi Kapitalis Buat Duit

Oleh: Hishamuddin Rais


Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Wednesday, August 5, 2009

Bukan Kita Yang Punya


Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

[Al-Baqarah 2:284]



Bangun sahaja dari tidur kita sedar bahawa itu adalah peluang dan ruang yang diberikan Allah untuk meneruskan kehidupan atas muka bumi ini. Hidup dengan menggalas misi Tuhan. Apakah ia akan disempurnakan atau leka dengan kepalsuan duniawi.

Lahir ke dunia sememangnya kita tak punya apa-apa.

Hari ini kita dapat melihat dunia. Pokok dengan hijaunya. Laut membiru dengan ombak menderu, gunung-ganang yang menggamit rasa, merenung wajah sang ibu dan bapa. Melihat dan memerhati bintang di langit dan segala macam kejadian ciptaan Allah. Bukankah itu satu kurniaan yang maha besar dan hebat.

Namun ingat, kurniaan ini bukan kekal. Ia hanyalah pinjaman dari Sang Pencipta, Rabbul Jalil.

Detik ini kita masih mampu mendengar. Justeru kerana telinga kita berfungsi atas peranannya. Mendengar burung-burung berkicauan, suara lantang si guru mengajar, gemersik alunan Al-Quran dan seumpamanya. Maka kita sedar pasti kaget separuh mati kalau tiba-tiba pinjaman itu ditarik balik. Atau mungkin saja pinjaman disekat.

Saat ini mulut yang satu masih mampu berbicara. Gurau senda dengan rakan taulan, bertanya khabar, membaca Al-Quran, berbincang dan segala macam lagi. Sungguh pinjaman ini sangat besar ertinya.

Piramid, Menara Condong Pisa, Tembok Besar China, Taj Mahal, Machu Pichu, Collossium, Taman Tergantung Babylon, Stonehenge.

Saya pasti anda pasti tahu tentang 7 keajaiban dunia. Kebetulan sekarang ini satu organisasi sedang membuat undian untuk senarai baru 7 keajaiban dunia berdasarkan undian masyarakat dunia. Semua yang disebut di atas adalah antara item-item yang disenaraikan.

Berceritalah manusia tentang taajubnya mereka dengan 7 keajaiban dunia. Itu keluarkan artikel itu dan ini bagi berkongsi rasa.

Sayang manusia lupa apa yang ada pada kejadian mereka itu adalah satu keajaiban yang maha hebat. Itulah tanda keagungan Sang Pencipta, Allah swt.

Tanpa mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan lain-lain sama sekali manusia tidak mampu membina apa yang dikatakan 7 keajaiban dunia. Sudah pastinya logiknya, kejadian manusia itu sendiri lebih hebat.

Tapi kita kena sedar bahawa ianya adalah pinjaman. Bila kita sebut pinjaman secara tak langsung ia membawa maksud benda itu bukan kita punya.

Macam kita pinjam kereta daripada kawan kita. Oleh kerana itu orang lain yang punya, mana boleh kita buat suka-suka hati. Ada adab dan aturan yang mesti kita ikut. Tak bolehlah ikut pandai sendiri. Tukar kusyen kereta, tukar cat baru, tampal pelekat mengikut selera kita. Sebab apa tak boleh? Memang itu bukan kita punya maka logiknya memang begitu.

Sama jugalah kita dengan Allah. Bila kata semua yang kita ada ini bukan milik kita; milik Allah Taala. Sewajarnya manusia mahu tak mahu dia kena ikut apa yang telah ditetapkan oleh pihak yang memberi pinjaman.

Apa yang disuruh, buatlah. Apa yang dilarang, tinggalkanlah. Kerana inilah adab dan aturan. Fitrah memang begitu.

Hari ini kita macam tak sedar akan hakikat ini. Kita lupa siapa hamba dan siapa Tuhan.

Yang ini kena tepuk dada, tanya iman.